Sabtu, 28 Desember 2013

PPPM Soal Pendidikan Bukan Politik Kata TPM

0 komentar

LONDON – Langkah meningkatkan tempoh masa pembelajaran subjek Bahasa Malaysia (BM) daripada 180 minit kepada 240 minit seminggu di semua sekolah vernakular adalah hasil kajian dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya adalah agenda pendidikan yang dirumus oleh pakar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata langkah itu dikemuka kerana kementerian tidak mahu melihat murid sekolah vernakular mengikuti pembelajaran subjek BM pada tahap teramat rendah berbanding pelajar sekolah kebangsaan.

“Kementerian tidak membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya hanya untuk menguatkuasakan ia semata-mata. Ini soal pendidikan, bukan politik. Saya bukan pakar pengajar, bukan menteri yang menyimpulkan berapa tempoh masa paling sesuai untuk sesi itu, tapi pakar pengajar yang merumuskannya,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Muhyiddin yang berada di sini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK), berkata beliau membangkitkan perkara itu susulan kritikan sesetengah pihak.

Lanjutan tempoh masa pembelajaran subjek BM di sekolah vernakular adalah antara ketetapan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancar oleh Muhyiddin di Kuala Lumpur, minggu lepas.

Ditanya mengenai perbuatan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang masih mengkritik PPPM, Muhyiddin berkata beliau tidak mahu mengulas setiap perkara yang dibangkitkan oleh persatuan itu. Ini kerana katanya Dong Zong akan terus mengkritik.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata sejak dilancarkan, PPPM menerima banyak maklum balas termasuk menerusi kira-kira 55,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang rata-rata mahu melihat kejayaan sistem pendidikan negara.

Ada juga pihak yang mahu Kementerian Pendidikan melibatkan mereka secara berterusan bagi mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan pelan induk pendidikan negara itu, katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian tidak mempunyai masalah berhubung penglibatan pihak berkenaan dalam PPPM, namun sewajarnya kementerian itu juga diberi peluang menjelaskan secara terperinci pelan tersebut mengikut fasa yang ditetapkan.

Beliau sebelum itu menghadiri ‘Forum Merdeka 2013: 56 Years of Merdeka, Road to 2020′ anjuran pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK.

Kira-kira 300 hadirin mendengar buah fikiran anggota panel forum iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengenai sejarah, isu semasa dan masa depan negara.

Muhyiddin turut menyampaikan syarahan di samping menjawab pelbagai soalan daripada hadirin yang kebanyakan berkisar mengenai semangat patriotisme.

Forum itu merupakan program terakhir dalam atur cara lawatan kerja lima hari Muhyiddin ke UK. – BERNAMA
Read more ►

Sabtu, 21 Desember 2013

Syed Anuar Bukan bank tentukan pengawal keselamat

0 komentar
Abdul Azeez bertanya sesuatu kepada anak sulung mangsa ketika bertemu keluarga pegawai operasi bank yang ditembak dalam kejadian semalam.

KUALA LUMPUR - Penugasan pengawal keselamatan di sesebuah bank ditentukan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu, bukan bank, kata Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali.

Menurutnya kebanyakan bank di negara ini menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan, sekali gus menyebabkan pengawal keselamatan di bank masing-masing sering bertukar.

“Ini semua di bawah syarikat itu. Buat masa ini kami tidak menerima apa-apa maklumat mengenai pengawal keselamatan itu. Malah kami juga menunggu polis untuk maklumat lanjut,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank itu ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.

Pengawal keselamatan itu yang sebenarnya bertugas di bank lain, hadir bertugas di Ambank cawangan berkenaan bagi menggantikan orang lain yang tidak datang bekerja.  
Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta Agensi Persendirian 1971.

Siasatan polis pula mendapati suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza itu menggunakan kad pengenalan palsu serta dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Sementara itu, ketika dihubungi, wakil syarikat kawalan keselamatan berkenaan, enggan mengulas.

“Saya tak nak komen apa-apa,” kata wanita yang mengaku pegawai perhubungan awam syarikat.   

Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata, buat masa ini pihaknya belum bercadang menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menggantikan pengawal keselamatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shaheen Mirza Habib memberitahu Bernama, pengambilan pengawal keselamatan mesti berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Seorang pengawal keselamatan itu hendaklah melalui tapisan yang telah ditetapkan seperti tiada rekod jenayah lampau. Apabila pengawal keselamatan itu telah mula bertugas, pihak syarikat perlu memastikan pengawal itu berkelakuan baik sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum dibenarkan memohon lesen untuk menjadi pengawal bersenjata.

“Setelah memperoleh lesen senjata api, syarikat kawalan keselamatan perlu menghantar pengawalnya itu menjalani latihan menembak dan memastikan ia mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan semasa menjalankan tugas,” katanya. - Bernama
Read more ►
 

Copyright © Rene blog's Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger